KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki yang membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian tragis di sebuah rumah di Sungai Penchala di sini menjalani pemeriksaan mental.
Hakim K.Muniandy menetapkan perkara itu terhadap tertuduh Afendi Muhammad Agus@Muhamed Ali, 43, bagi memastikan pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh pada 6 September lalu adalah dalam keadaan waras serta sukarela.
“Pegawai penyiasat perlu memohon pemeriksaan mental dilakukan ke atas tertuduh kerana jenayah dilakukan tertuduh adalah berat. Mahkamah ingin tahu kewarasan tertuduh dan seterusnya menerima pengakuan salahnya atau kes itu diteruskan dengan perbicaraan,” kata hakim itu.
Terdahulu, Hakim Muniandy bertanya kepada Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak, adakah pemeriksaan mental telah dilakukan terhadap tertuduh, Nur Aqilah memaklumkan semasa kejadian pegawai penyiasat mendapati tertuduh berada dalam keadaan baik dan tiada gangguan mental.
“Bagaimanapun pihak kami menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada tertuduh perlu membuat pemeriksaan mental atau sebaliknya bagi mendapatkan keadilan,” kata Nur Aqilah.
Mendengar makluman itu, peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli yang mewakili Afendi mengesahkan anak guamnya dalam keadaan normal ketika beliau berkomunikasi dengannya, namun tidak membantah sekiranya pemeriksaan mental perlu dilakukan ke atas tertuduh.
Justeru mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 27 Januari ini untuk kedua-dua pihak memaklumkan mengenai laporan pemeriksaan mental tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa membunuh bapanya Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya Darlisma Njatu Saleh, 72.
Kesalahan itu didakwa di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6 di sini masing-masing pukul 7.10 malam dan 7.20 malam pada 9 Disember 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pada 9 Disember tahun lalu Kosmo! melaporkan jeritan minta tolong seorang wanita yang didengari jirannya merungkaikan penemuan pasangan warga emas mati dibunuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, di sini.
Menurut jiran, jeritan itu dipercayai daripada wanita yang dibunuh anak lelakinya berusia 40-an kira-kira pukul 7 malam.
Pasangan yang dibunuh itu merupakan keluarga yang dikenali ramai penduduk di sini sekali gus menimbulkan suasana suram dalam kalangan penduduk.
Sejurus selepas kejadian, suspek yang melarikan diri kemudian berjaya diberkas polis dan ditahan ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), di sini. – KOSMO! ONLINE