KETUA jurulatih perseorangan baharu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen sedar cabaran besar yang bakal menantinya terutama untuk memperbaiki bahagian paling kritikal dalam skuad kebangsaan iaitu perseorangan wanita.
Bekas ketua jurulatih pasukan Denmark tersebut yang mengikat kontrak selama empat tahun bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu mengakui masih terdapat jurang ketara antara pemain perseorangan wanita negara dengan negara besar seperti China, Jepun, dan Korea Selatan.
Biarpun sedar akan cabaran tersebut, jurulatih berusia 50 tahun tetap optimis bahawa perjuangan untuk mengatasi halangan ini bukanlah sesuatu yang mustahil dan bersedia untuk mengerah segala pengalamannya untuk membangunkan sektor tersebut.
“Benar, ada jurang besar dalam perseorangan wanita kita, tetapi tugas saya adalah mengenal pasti pemain-pemain muda yang berbakat ini dan membantu mereka mencapai potensi penuh.
“Tetapi, ia bukan kerja mudah, kami harus percaya pada proses dan usaha keras. Saya akan mula bekerja rapat dengan pemain-pemain ini setiap hari. Penting untuk saya memahami impian dan keinginan mereka
“Walaupun ia akan memakan masa, langkah pertama adalah memastikan mereka percaya bahawa mereka mampu untuk berjaya,” kata Jonassen pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky kelmarin.
Pelantikan Jonassen sebagai ketua jurulatih kebangsaan telah diumumkan pada 23 November lalu, dengan kontrak empat tahun yang bermula pada 4 Januari 2024 sehingga 2028.
Pada masa ini, skuad senior perseorangan wanita Malaysia dibarisi oleh pemain seperti K. Letshanaa, Oo Shan Zi, dan Siti Zulaikha Azmi.