SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) akan menganjurkan Klinik Pertanian secara percuma kepada orang ramai bersempena Pesta Konvokesyen dan Ekspo Pertanian (Peskon) ke-48.
Klinik tersebut menyediakan khidmat nasihat dan demonstrasi kawalan seranggan perosak menggunakan bahan dapur, penghasilan pelembap bibir (lip balm), tanaman padi dalam polibeg, penggalak tanaman organik, cantuman pokok, kuih tradisional Melayu, makanan ternakan (silaj) dan hidroponik ringkas.
Pengarah Peskon ke-48, Nur Aisyah Abdullah, berkata pesta konvokesyen berlangsung bermula Jumaat ini hingga 9 Disember turut menyajikan hasil produk UPM daripada Pusat Pertanian Putra (PPP), UPM dan sebagai sebuah platform untuk pakar bertemu dengan masyarakat.
“Peskon kali ini memberi tumpuan memberi tumpuan kepada kemajuan pertanian serta komitmen UPM terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.
“Pertanian kini adalah bidang dinamik yang mampu memberi impak langsung kepada masyarakat, bukan sekadar aktiviti tradisional,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, aktiviti lain turut dianjurkan seperti cabutan bertuah, pertandingan E-Sports, Peskon Run dan acara kesenian seperti nasyid, dikir barat, boria, serta Putra Got Talent bagi mencungkil bakat mahasiswa dan mempromosikan budaya tradisional.
Orang ramai dialu-alukan untuk bersama-sama menerokai inovasi dalam bidang pertanian dan menikmati pelbagai acara yang disediakan.
Mereka juga dijemput hadir untuk mendapatkan anak pokok durian Musang King, Duri Hitam, IOI, D24 dan Kancing Baju dengan harga berpatutan. – KOSMO! ONLINE