PETALING JAYA – Instagram rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian pengguna media sosial apabila menggunakan lagu-lagu K-Pop yang diminati golongan muda pada setiap hantaran lawatan rasmi beliau di Korea Selatan.
Menerusi hantaran tersebut, lagu-lagu artis K-Pop yang digunakan seperti BTS (Dynamite), ZICO (Any Song), Girls’ Generation (Gee), Super Junior (Sorry, Sorry), G-Dragon (Power), 2NEI1 (Come Back Home), CNBLUE (Love) dan LeeHi (ONLY).
Selain itu, lagu daripada BIGBANG (Monster), Jung SeungHwan (Day & Night), EXO (Ko Ko Bop) dan BLACKPINK (Kill This Love).
Dalam masa sama, setiap hantaran gambar dan video pada Instgram beliau mendapat perhatian daripada orang ramai terutama peminat lagu-lagu K-Pop.
“Dah macam stesen radio dekat sini. Semua orang minta lagu,” komen aniqismaq.
“Admin sah peminat generasi kedua K-Pop,” komen eikazulaikha.
“Terima kasih hiburkan kami dengan permintaan lagu. Admin PMX ‘mendonia’,” kata kimahazhar.
Terdahulu, Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Republik Korea bermula Ahad hingga semalam, sekali gus mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Lawatan rasmi yang dibuat atas jemputan Presiden Republik Korea, Yoon Suk Yeol itu merupakan kunjungan rasmi pertama Anwar ke negara berkenaan selepas menjawat jawatan Perdana Menteri pada 2022. – KOSMO! ONLINE