PETALING JAYA – Laluan di Hatyai yang juga salah satu destinasi pelancongan rakyat Malaysia turut dilanda banjir pada masa ini.
Menerusi video dikongsikan seorang pengguna TikTok Shuhada Rich, dia yang sedang menaiki kereta turut meredah banjir di laluan sekitar Hatyai hari ini.
“Jalan dekat Hatyai banjir, air naik dah. Nak bercuti kan dah gaji, nak bercuti datang Hatyai fikir dulu.
“Kami ni sebab terpaksa, barang tempah terpaksa ambil. Kalau tak, tak boleh,” katanya pada video itu.
Dalam masa sama, ada pengguna TikTok meninggalkan komen bahawa mereka merancang ke Hatyai dan telah menempah hotel di sana.
“Saya baru nak gerak malam ni. Aduhai, ‘cancel’ ke macam mana?,” komen seorang pengguna TikTok.
Kemudian, seorang pengguna yang lain memberi saranan supaya dia membatalkan percutian tersebut.
“Baik ‘cancel’. Mak saya pernah terperangkap tiga hari di hotel tanpa makanan dan elektrik. ‘Area’ Lee Garden, biasanya memang macam lautan kena naik bot. Lori pun tak lepas. Pusat Hatyai memang kawasan rendah,” komen individu tersebut.
Bagaimanapun, ada yang memaklumkan tidak perlu bimbang untuk bercuti ke Hatyai sekiranya menggunakan pengangkutan awam di negara itu.
“Yang pergi sana naik pengangkutan orang sana. Jangan risau okay ja, kalau naik kenderaan sendiri, wajib risau. Naik je van atau kereta api, tiap tahun memang macam tu. Biasa bandar okay saja,” kata seorang lain individu. – KOSMO! ONLINE