JAKARTA – Sepasang pengantin baharu di Indonesia mengundang perhatian pengguna media sosial apabila ibu kepada pengantin perempuan meninggal dunia sebelum majlis akad nikah berlangsung, lapor portal berita Wolipop semalam.
Kejadian berlaku di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan pada 23 November lalu.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @cucutersayang1 menunjukkan seorang wanita menangis teresak-esak di atas pelamin.
Dia kemudian dipeluk dan ditenangkan oleh bapanya bersama ahli keluarga yang lain sebelum acara akad nikah diteruskan.
“Hari bahagia bertukar duka apabila ibu pengantin meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan ke pasar,” demikian menurut keterangan video itu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 2.1 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Saya tidak boleh bayangkan perasaannya (pengantin perempuan),” komen seorang netizen.
“Di setiap daerah, ahli keluarga terutamanya ibu bapa dilarang ke mana-mana semasa akad nikah atau bersanding,” komen netizen lain. – AGENSI