LONDON – Sebuah kubu bawah tanah di United Kingdom (UK) dijual pada harga £29,000 (RM162,000), dua kali ganda lebih tinggi berbanding harga tawaran ekoran ancaman perang nuklear yang semakin meningkat oleh Russia.
Akhbar Daily Mirror UK melaporkan, tempat perlindungan yang dibina untuk berlindung daripada serangan nuklear itu terletak di Pontefract, Barat Yorkshire.
Kubu tersebut mempunyai kedalaman sehingga 4.57 meter dan boleh diakses menggunakan tangga.
Jon Graves, 37, sebelum ini membeli kubu berkenaan pada tiga tahun lalu dalam usaha untuk memulihkan dan mengekalkannya sebagai sebahagian daripada sejarah Perang Dingin.
Ia bagaimanapun dijual semula dua kali ganda lebih tinggi berbanding harga tawaran sebanyak £15,000 (RM84,100) dalam acara lelongan pada Khamis lalu.
Penjualan itu dilakukan di tengah-tengah kebimbangan bahawa perang Ukraine akan mencetuskan Perang Dunia Ketiga, membuatkan ia mendapat permintaan tinggi di seluruh UK. – AGENSI