KUALA KRAI – Seramai 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Krai meredah banjir sejauh 1 kilometer (km) sebelum mengusung dan membawa jenazah seorang wanita warga emas untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Mukim Batu Jong, di sini hari ini.
Jenazah Faizah Ismail, 78, yang meninggal dunia kerana menghidap angin ahmar dan sakit tua di rumahnya di Taman Sri Nal sini yang terletak kira-kira 5km dari tanah perkuburan berkenaan.
Pegawai APM Daerah Kuala Krai, Abd. Fatah Abdul Aziz berkata, anggota APM tiba di rumah mangsa kira-kira pukul 2.15 petang sebaik menerima panggilan kecemasan daripada keluarga arwah Faizah.
Menurutnya, laluan ke tanah perkuburan itu telah dinaiki air sedalam dua meter dengan jarak 1km.
“Anggota APM mengusung jenazah itu sebelum menaiki bot ke tanah perkuburan dengan masa perjalanan kira-kira 15 minit.
“Anggota yang terlibat turut membantu urusan pengebumian jenazah itu sehingga selesai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE