KUALA TERENGGANU – Hulu Terengganu dan Setiu menjadi daerah terbaharu selepas Marang dan Besut yang terjejas banjir di Terengganu hari ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat ini, mangsa banjir negeri ini meningkat kepada 236 orang daripada 71 keluarga.
Beliau berkata, kesemua mangsa terbabit berada di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah terbabit.
“Setiu merupakan daerah paling terjejas dengan 86 mangsa daripada 20 keluarga yang berada di dua PPS. Seramai 56 mangsa daripada 22 keluarga pula berada di lima PPS di Besut,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, sebanyak tiga PPS yang mempunyai 51 mangsa daripada 18 keluarga dibuka di Hulu Terengganu.
Beliau berkata, Marang pula mempunyai 43 mangsa daripada 11 keluarga yang masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Simpang Rawai.
“Langkah berjaga-jaga telah diambil memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan sangat lebat tahap merah sehingga Jumaat ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE