IPOH – Seramai 10 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam satu operasi melibatkan pelbagai jenis premis di daerah Kinta semalam.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd. Malik berkata, operasi yang dilaksanakan oleh Unit Risikan & Operasi Bahagian Penguatkuasaan JIM Perak itu bermula pukul 3 hingga 6.30 petang.
Katanya, operasi dibuat berdasarkan aduan dan hasil pemantauan yang telah dijalankan, dengan 39 orang yang terdiri daripada warganegara dan warga asing telah diperiksa.
“Seramai 10 warga asing telah ditahan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Warga asing yang telah ditahan adalah terdiri daripada lapan orang lelaki dan dua perempuan berusia dalam linkungan 25 hingga 45 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Meor Hezbullah, kesemua warga asing tersebut ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasaan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 ia masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.
Beliau berkata, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal atau berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan dan kesalahan dibawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat poas yang telah dikeluarkan. – KOSMO! ONLINE