PETALING JAYA– Gelagat seorang lelaki warga emas yang berpura-pura menulis ‘saman’ kepada tiga anggota polis bermotosikal mencuri perhatian netizen.
Dalam video yang dimuat naik di Instagram @pdrmsia_official, kelihatan aksi lucu warga emas tersebut berdiri di hadapan tiga anggota polis di lampu isyarat sambil menulis sesuatu di buku nota kecilnya.
“Encik bertiga salah ni. Sekejap, pak cik keluarkan saman kerana berhenti di lampu merah,” katanya.
Tindakan spontan warga emas itu mengundang gelak tawa netizen, dengan ramai yang terhibur dan berseloroh bahawa ‘pakcik tersebut bertindak seolah-olah menulis saman kepada anggota polis berkenaan.
“Pak cik saman tiga-tiga sekali. Kaw kaw dia bagi saman,” ujar Jamilah_Ahmad64.
“Pak cik tulis saman ke ambil pesanan tu?” seloroh seorang pengguna, TheMunga.
Selain itu, terdapat juga pengguna yang mengenali warga emas itu, kerana dia sering kelihatan di kawasan berkenaan.
“Kenal pak cik ini. Dia duduk situ, ada satu bulatan dekat Pudu tu, kalau sesak dia tolong. Kalau dia nampak dia bagi roti dengan air, atau bagi duit. Kalau bagi dia akan cakap semoga selamat sampai rumah,” kata Baby Hassan.
“Dia memang jaga kawasan itu, rajin pusing-pusing. Kalau jalan sesak pun dia kawal, lagi-lagi kawasan Pudu dan Hang Tuah,” ujar Jaja1988. -KOSMO! ONLINE