KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Petronas (UTP) hari ini melancarkan program baharu pengajian iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bersepadu (Kepujian) yang pertama di Malaysia dengan menggabungkan disiplin kejuruteraan berlainan dalam satu program.
Menurut Pro canselor UTP, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz, program tersebut dibangunkan dalam usaha untuk memperkasa tenaga kerja masa hadapan.
“Program ini direka bentuk untuk melengkapkan graduan dengan pengetahuan penting, kemahiran dan perspektif holistik bagi menghadapi cabaran masa depan.
“Sehubungan itu, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bersepadu (Kepujian) mengguna pakai pendekatan penggabungan disiplin yang melengkapkan disiplin kejuruteraan tradisional,” katanya pada ucapan perasmian di persidangan The Campus Live. SE Asia di sini, hari ini.
Pengambilan pertama pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bersepadu (Kepujian) akan berlangsung pada tahun hadapan dengan tempoh pengajian selama empat tahun.
Program Kejuruteraan Bersepadu itu direka bentuk untuk merintis generasi baharu jurutera yang merupakan inovator dan usahawan, perintis tangkas, juara teknologi dan digital, penyokong fokus pelanggan, penyokong kemampanan dan pemikir sistem yang dipacu nilai.
Pelancaran program itu juga merupakan satu lonjakan penting ke arah membentuk masa depan pendidikan kejuruteraan di Malaysia, sejajar dengan visi UTP untuk menjadi universiti tenaga dan teknologi terkemuka menjelang 2050.
Sementara itu, Tengku Muhammad Taufik yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas berkata, program tersebut dibangunkan hasil input daripada perundingan dengan rakan industri, kolaborator pendidikan, badan profesional seperti Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Kementerian Pengajian Tinggi, ibu bapa dan pelajar.
“Oleh itu, program ini menerapkan rangka kerja baharu dan pembelajaran melangkaui disiplin individu yang menyepadukan pengetahuan dan perspektif dari pelbagai bidang untuk menangani masalah masyarakat yang kompleks.
“Dalam melancarkan program baharu ini, UTP berani mengisytiharkan cita-cita beraninya untuk mentakrifkan semula pengajaran dan pembelajaran,”katanya.- KOSMO! ONLINE