PETALING JAYA – Dalam usaha meningkatkan keberkesanan teknologi, banyak syarikat kini sering mengabaikan aspek keselamatan, terutamanya dalam peringkat awal pembangunan seperti ujian beta atau bukti konsep (Proof of Concept).
Bendahari Persatuan Internet of Things (IoT) Malaysia, Pathmanathan Muniandy berkata, kebanyakan syarikat lebih menumpukan kepada fungsi dan keupayaan teknologi IoT untuk mengumpul serta memproses data, namun elemen keselamatan sering diketepikan.
Menurut beliau, ciri keselamatan IoT harus diutamakan sejak di peringkat pembangunan awal termasuk penggunaan teknologi penyulitan seperti AES128 atau AES256 untuk melindungi data yang dihantar.
“Penyelesaian seperti penggunaan kunci pengganti untuk meningkatkan keselamatan pada tahap penghantaran data juga perlu diambil berat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Mengambil contoh kes kamera keselamatan Ring, Pathmanathan menunjukkan betapa bahayanya mengabaikan keselamatan dalam IoT.
“Insiden serangan siber terhadap teknologi ini telah mencetuskan kebimbangan global mengenai privasi dan keselamatan pengguna,” ujarnya.
“Perangkat IoT perlu dibangunkan dengan sistem pengurusan keselamatan yang kukuh. Setiap sambungan ke server mestilah melalui port yang selamat dan diperkuat dengan sijil keselamatan,” ujarnya.
Pathmanathan turut menggariskan langkah perlindungan terhadap serangan DDoS (Distributed Denial-of-Service), seperti menggunakan perkhidmatan Cloudflare untuk memastikan kelangsungan operasi sistem.
Tambah beliau, perlunya ada standard antarabangsa seperti ISO 27001 untuk memastikan infrastruktur komunikasi teknologi (IT) IoT mematuhi piawaian keselamatan tertinggi.
“Kami bekerjasama rapat dengan organisasi keselamatan global untuk membimbing syarikat tempatan dan antarabangsa agar memastikan keselamatan data pada tahap terbaik,” jelasnya.
Selain itu, Pathmanathan menerangkan, para pemaju IoT di Malaysia telah diberi bimbingan dan panduan untuk mengukuhkan keselamatan pada semua peringkat, termasuk sistem operasi dan pangkalan data.
“Keselamatan harus bermula di asas. Jika pintu utama dilindungi, anda tidak perlu terlalu risau tentang keselamatan di dalam rumah,” katanya.
Menurut beliau, melalui Integrasi IoT yang kukuh dan selamat bukan sahaja penting untuk melindungi data peribadi tetapi juga untuk memastikan kepercayaan pengguna terhadap teknologi ini.
“Dengan ancaman siber yang semakin kompleks, pelabur dan pengguna perlu diyakinkan bahawa keselamatan adalah teras kepada setiap pembangunan IoT.
“Keselamatan dalam IoT bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan yang tidak boleh dikompromi,” tegas beliau. -KOSMO! ONLINE