MANCHESTER – Kapten Manchester City, Kyle Walker percaya pasukan itu mampu untuk kembali ke prestasi sebenar dan ia bermula pada aksi menentang Feyenoord dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) di Stadium Etihad awal pagi esok.
Juara Eropah 2023 itu dianggap berada dalam krisis terbesar selepas tewas lima kali berturut-turut, termasuk dibelasah Tottenham Hotspur 4-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.
Justeru, Walker menyifatkan aksi menentang Feyenoord di laman sendiri sebagai peluang terbaik untuk mereka kembali mendapatkan rentak kemenangan dengan menewaskan pasukan dari Belanda itu.
“Memang kami sedang mengharungi tempoh paling buruk ketika ini, tetapi saya menaruh sepenuh keyakinan City akan dapat menghadapinya dan kembali ke prestasi terbaik. Kami memiliki ramai pemain yang ada karakter tersendiri.
“Kami tidak akan mengaku kalah kerana kami percaya pada kemampuan diri. Kami ada perlawanan cukup penting Selasa ini (awal pagi esok), jadi saya harap ia menghasilkan keputusan positif dan kembali ke landasan sebenar,” katanya.
Sementara itu, Walker juga menepis dakwaan yang mengatakan motivasi pemain-pemain City berada pada tahap paling rendah, sebaliknya dia dan rakan sepasukan terus bersemangat untuk memperbaiki prestasi.
“Saya fikir satu perkara bodoh untuk kami mengatakan seperti itu (hilang motivasi) kerana kami hanya perlu menang bagi mendapatkan semula keyakinan. Semua pemain bertanggungjawab dan sedia melaksanakan tugas ini,” ujarnya. – AGENSI