PETALING JAYA – Kesetiaan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terhadap UMNO menjadi faktor beliau serta-merta diterima kembali parti itu, semalam.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Tajuddin terus memberikan komitmen walaupun menerima banyak tawaran untuk menyertai parti lawan, sebelum ini.
“Kesetiaan Tajuddin antara faktor beliau diterima kembali. Saya difahamkan beliau ada menerima tawaran-tawaran ketika pilihan raya terdahulu supaya menyertai parti tertentu.
“Ia membolehkan Tajuddin bertanding dan diberikan peluang, tetapi beliau menolak semua tawaran itu,” katanya ketika hadir merasmikan Hari Keselamatan Malaysia Berhad (Plus) 2024 di Persada Plus, di sini hari ini.
Jelasnya, beliau sendiri menyaksikan kesetiaan Tajuddin yang bertungkus-lumus ‘turun padang’ berkempen di beberapa pilihan raya kecil (PRK) terdahulu, walaupun telah digantung keahliannya (UMNO) pada September 2022 selama enam tahun susulan mengkritik parti.
“Saya beberapa kali bertemu dengan beliau yang turun membantu seperti di kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan PRK DUN Mahkota.
“Ia menunjukkan komitmen dan kesetiaan beliau terhadap perjalanan parti,” ujarnya.
Ogos lalu Kosmo! melaporkan, Tajuddin yang ditemui ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia, dengan sayu meluahkan rasa rindunya terhadap UMNO.
“Saya sayang UMNO, saya rindu suasana ketika bersama UMNO’,” luahnya.
Semalam, MKT UMNO sebulat suara melepaskan dan menarik semula penggantungan keahlian Tajuddin sebagai Ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.
Setiusaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan tersebut dibuat selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan UMNO. – KOSMO! ONLINE