BUKIT KAYU HITAM – Cubaan empat tekong darat untuk menyeludup enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dari Thailand gagal apabila kesemua mereka ditahan di pondok usang dalam kawasan kebun getah, dekat sini semalam.
Empat tekong darat yang merupakan lelaki Thailand serta kesemua warga Myanmar berusia antara 21 hingga 40 tahun tersebut ditahan sepasukan anggota Balai Polis Bukit Kayu Hitam dalam Ops Pintas kira-kira pukul 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, anggotanya membuat pemantauan di kawasan pondok itu yang terletak berhampiran jalan belakang sebuah universiti kerana disyaki menjadi tempat transit penyeludupan migran.
“Selepas memantau selama kira-kira 10 minit, anggota ternampak masing-masing tiga lelaki dan perempuan duduk di bawah pondok, manakala empat lagi lelaki berada berdekatan kawasan tersebut.
“Anggota terus menyerbu pondok berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati enam individu di bawah pondok adalah warga Myanmar, sementara empat lagi adalah lelaki Thailand disyaki penjaga kawasan itu serta bertindak sebagai tekong darat,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua warga asing yang diperiksa didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.
“Hasil soal siasat, empat tekong itu telah ditawarkan upah dari seorang lelaki Myanmar dengan bayaran RM65 bagi setiap PATI dibawa dari Kampung Sadao, Thailand ke Bukit Kayu Hitam,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE