PUTRAJAYA – Karnival Kerjaya Madani yang dianjurkan sempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini selama tiga hari bermula esok sehingga Jumaat ini bakal menawarkan sebanyak 10,000 peluang pekerjaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, FOI Putrajaya 2024 yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendapat kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menawar peluang kerja khususnya untuk lepasan universiti, politeknik dan kolej komuniti.
“Saya ingin menjemput orang ramai khususnya anak-anak muda yang baru keluar universiti, politeknik dan kolej komuniti untuk hadir.
“Ini kesempatan (peluang) untuk kita datang meninjau atau mencari peluang yang ada sempena Festival Idea yang bakal berlangsung esok,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan program Putrajaya FOI hari ini.
Mengulas berhubung penganjuran Putrajaya FOI, Zambry menjangkakan kehadiran kira-kira 250,000 pengunjung sepanjang tiga hari program tersebut berlangsung.
Beliau yakin sasaran tersebut dapat dicapai berdasarkan pengisian program menarik yang ditawarkan termasuk peluang pekerjaan. – KOSMO! ONLINE