fbpx

Potensi Malaysia jadi pengeluar bahan api penerbangan mampan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari

KUALA LUMPUR – Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia berada dalam kedudukan yang strategik untuk menjadi salah satu pengeluar Sustainable Aviation Fuel (SAF) atau bahan api penerbangan mampan utama dunia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, SAF merupakan jenis bahan api yang digunakan dalam sektor penerbangan yang selari dengan kriteria-kriteria kemampanan antarabangsa.

“Penggunaan SAF merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan bagi mencapai matlamat International Civil Aviation Organization (ICAO) untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor penerbangan sebanyak lima peratus menjelang tahun 2030.

“Kerajaan bercadang untuk mewajibkan inisiatif tersebut mulai tahun 2027,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung sasaran dan strategi kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama SAF serantau.

Johari berkata, selain komitmen negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050, SAF juga mempunyai potensi besar bagi ekonomi negara terutamanya dalam mempertingkatkan pelaksanaan ekonomi kitaran.

Malah katanya, Malaysia dijangka akan mula mengeluarkan SAF secara mampan bermula 2027.

“Kapasiti pengeluaran akan ditingkatkan secara berperingkat (berdasarkan kapasiti kilang pengeluar dan ketersediaan bahan mentah) seiring dengan agenda Malaysia untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar SAF di Asia Tenggara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI