fbpx

PBT perlu adil kuat kuasa papan tanda dwibahasa – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa tempatan (PBT) disarankan untuk melakukan pemantauan secara berterusan dan tidak mengambil tindakan secara bermusim berhubung penguatkuasaan undang-undang peraturan papan tanda dwibahasa.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia kerana perkara itu bakal menimbulkan pandangan negatif dalam kalangan rakyat terutama peniaga tempatan.

“Sekiranya sesuatu papan tanda itu melanggar peraturan, jangan tunggu bertahun barulah tindakan diambil kerana ini memberi satu persepsi yang berbeza kepada rakyat. Perlu berlaku adil.

“Kalau peniaga difahamkan dari awal bahawa papan tanda itu perlu mengikut peraturan tertentu, maka biarlah dari awal. Jangan di hujung-hujung baru nak ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran aplikasi penstriman MYTV Mana-Mana ke dalam sistem radio Infotainment-Head-Unit (IHU) Proton X70 di Quill City Mall, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi bagaimanapun berkata, isu tersebut tidak perlu dipolemikkan kerana ia merupakan antara syarat yang sudah digariskan bagi permohonan lesen perniagaan oleh PBT.

“Mereka harus faham dan patuh kepada peraturan-peraturan ini kerana mereka perlu mendapatkan lesen untuk meletakkan papan tanda,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sing, dalam satu kenyataan di Facebooknya, menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan penguatkuasaan berhubung peraturan papan tanda dwibahasa.

Beliau dilapor berkata, penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

Minggu lalu, media melaporkan DBKL melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan, termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI