RANTAU PANJANG – Banjir termenung yang melanda Kampung Luar dan Tersang di sini menyebabkan 39 pesawah mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas tanaman padi seluas 121 hektar yang diusaha mereka ditenggelami air.
Mereka mendakwa, masalah banjir lambat surut atau termenung itu berlaku kesan daripada pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kampung Luar, Azli Jaafar berkata, situasi itu menyebabkan padi yang hanya menunggu masa untuk dituai telah ditenggelami banjir sedalam 0.5 meter selama lima hari.
“Apabila keadaan ini berlaku, kerja-kerja menunai tidak dapat dijalankan kerana jentera menuai tidak boleh masuk ke sawah kerana air terlalu dalam.
“Saya sendiri mengalami kerugian hampir RM70,000 apabila tanaman padi seluas 40 hektar ditenggelami air,” katanya.
Seorang lagi pesawah, Che Jailani Che Harun, 53, berkata, masalah air lambat surut menyebabkan padi yang diusahakannya gagal diselamatkan.
Katanya, ekoran itu, dia mengalami kerugian sebanyak RM30,000 apabila padi seluas 4 hektar yang diusahakannya tenggelam.
Seorang lagi pesawah, Zahari Harun, 70, berharap kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian terhadap masalah mereka.
Katanya, pesawah tidak sanggup lagi berdepan kerugian secara berterusan.
“Kawasan ini lubuk kami mencari rezeki. Jadi, bantulah kami. Kali ini saya mengalami kerugian sebanyak RM30,000 dan hanya mampu melihat hasil tanaman dari jauh selepas ditenggelami banjir,” ujarnya.