SETIU – Nur Azwa Shamimi Kamarudin, 21, yang merupakan satu-satunya mangsa terselamat dalam nahas ngeri meragut nyawa ibu bapa dan kakaknya di Kampung Sungai Lerek di sini semalam selamat menjalani pembedahan kepala.
Abang ketiga graduan Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar) tersebut, Ahmad Kamarul Syafieq, 28, berkata, adik bongsunya belum sedarkan diri dan masih dalam pemantauan doktor.
“Adik bongsu saya (Nur Azwa Shamimi) selamat menjalani pembedahan akibat pendarahan dalam kepala malam tadi.
“Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Ahmad Kamarul Syafieq berkata, tumpuannya dan ahli keluarganya buat masa ini memastikan pemulihan Nur Azwa Shamimi apatah lagi gadis itu kini merupakan satu-satunya saudara perempuan mereka yang tinggal.
Jelas anggota bomba tersebut, biarpun Nur Azwa Shamimi sudah sedar nanti, mereka masih belum bersedia memaklumkan berita kematian ibu bapa dan kakak kepada gadis tersebut. – KOSMO! ONLINE