KEMAMAN – Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 306.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Plaza Tol Kijal di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 6 pagi itu, mangsa, Mohd. Noor Yunus, 37, yang berasal dari Ketereh, Kelantan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.
Sewaktu kejadian, kereta Perodua Myvi dipandu Mohd. Noor dikatakan dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang dari arah Kuala Terengganu.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta itu dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh besi penghadag lebuh raya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairulhasni Mokhtar berkata, sepasukan 10 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut pada pukul 6.12 pagi.
“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu keretanya yang remuk teruk. Dia terpaksa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas.
“Pasukan perubatan kemudiannya mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Khairulhasni berkata, mayat Mohd. Noor telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE