KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan dilihat semakin licik apabila menggunakan mangsa sebagai ‘ejen’ tanpa disedari bagi meneruskan aktiviti terlarang itu.
Kegiatan itu terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 37 tahun mengalami kerugian sebanyak RM138,000.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata eksekutif di sebuah syarikat swasta itu membuat laporan polis pada 28 Oktober lalu selepas mendapati dirinya menjadi mangsa penipuan.
“Menurut laporan mangsa, beliau menerima panggilan pada pertengahan Oktober daripada individu yang mendakwa wakil syarikat e-dagang.
“Suspek menuduh nombor telefon mangsa digunakan dalam aktiviti penjualan barangan terlarang. Walaupun mangsa menafikan dakwaan itu, panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Tambah beliau, mangsa diarahkan memindahkan RM38,000 ke akaun bank tertentu untuk tujuan ‘siasatan’.
Jelas Ramli, tidak cukup dengan itu mangsa turut diminta menyerahkan wang tunai RM100,000 kepada seorang individu yang bertemu dengannya secara bersemuka.
“Hasil siasatan polis mendedahkan individu yang bersemuka dengan mangsa adalah seorang wanita yang turut menjadi mangsa sindiket phone scam tersebut.
“Wanita itu didapati telah diperdaya oleh sindiket sejak Ogos lali. Sindiket berkenaan mengarahkan wanita itu melapor diri setiap tiga jam dan membuat pinjaman bank berjumlah RM89,000, yang kemudian dipindahkan ke akaun tertentu,” katanya.
Kata Ramli, wanita itu yang juga pegawai bank berusia 30 tahun diarahkan oleh sindiket untuk mengambil wang tunai RM100,000 daripada mangsa lelaki dan memindahkannya ke empat akaun bank berbeza.
Ujarnya, pemeriksaan terhadap telefon bimbit wanita itu membongkar penglibatannya sebagai mangsa yang dipergunakan oleh sindiket.
“Dia kini dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan.
“Kes ini adalah contoh bagaimana sindiket phone scam semakin bijak memanipulasi psikologi mangsa sehingga mereka tidak sedar dipergunakan sebagai sebahagian daripada rangkaian penipuan tersebut.
“Jika sebelum ini, ancaman phone scam hanya berkisar kepada kehilangan wang, kini mangsa boleh diperdaya untuk menjadi ‘ejen’ sindiket tanpa disedari,” katanya.-KOSMO! ONLINE.