fbpx

Lawatan PMX ke luar negara bukan hadiah, rasuah dari syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketibaan pulang Anwar dari Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil disambut meriah oleh orang ramai.

PETALING JAYA – Dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan lawatan Perdana Menteri ke beberapa buah negara sebelum ini sebagai rasuah dan hadiah daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta adalah tidak benar.

Ini kerana kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, kos perjalanan bagi syarikat swasta dan GLC yang menyertai lawatan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.

Malah katanya, tiada sumbangan kewangan diberikan kepada kerajaan atau Perdana Menteri.

“Perlu difahami, ini bukan isu rasuah, bukan hadiah bukan satu bentuk ketidaktelusan seperti yang didakwa pihak tidak bertanggungjawab.

“Penglibatan syarikat ini merupakan inisiatif untuk mengembangkan pelaburan mereka yang sudah bertapak di negara tersebut selari dengan usaha kerajaan mempromosikan kepentingan ekonomi negara di peringkat global.

“Lawatan ini menjadi platform strategik untuk menjalin hubungan erat antara pelabur tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kos yang turut dibiayai oleh GLC dan syarikat swasta yang turut serta dalam lawatan tersebut adalah bagi memastikan ia mencapai objektif strategik.

Antaranya seperti menarik pelaburan, meneroka pasaran baharu di samping memperkukuh perdagangan.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan memberitahu, Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam syarikat atau GLC terlibat.

“Prinsip ini jelas dalam kepimpinan beliau yang sentiasa mengutamakan integriti dan amanah. Menyalahertikan sokongan kepada lawatan rasmi negara sebagai rasuah adalah fitnah besar yang bertentangan dengan prinsip Islam,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI