fbpx

KKM teliti cadangan kerja syif 45 jam seminggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad akan meneliti dan menimbang cadangan daripada lima persatuan jururawat berhubung tempoh bekerja 45 jam seminggu di Bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berbanding 42 jam sebelum ini.

Katanya, beliau mengikuti segala input diberikan pihak terlibat termasuk daripada lima persatuan jururawat selain mahu mengetahui libat urus dijalankan mereka.

“Untuk makluman, perubahan yang diumumkan di bawah SSPA merangkumi semua petugas yang bekerja syif khasnya jururawat.

“Adalah lebih adil untuk warga Kementerian Kesihatan (KKM) yang terkesan, jika segala keputusan yang muktamad dibuat secara tuntas dengan meneliti realiti berdasarkan ‘data dan maklumat’ sebenar, samada terkait matriks taburan bersabit ‘kekurangan-acute shortages’ atau hal ‘maltaburan-maldistribution’,” katanya dalam hantaran di platform X hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada permohonan lima persatuan jururawat yang mahu menangguhkan perlaksanaan tempoh 45 jam bekerja yang dijadualkan bermula pada 1 Disember depan.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, perkhidmatan KKM adalah berpaksikan sifat ihsan dan empati yang mana nilai itu mesti dihayati dahulu dalam pengurusan warga kerja kementerian.

“Oleh itu, saya mohon agar warga KKM yang terkesan oleh perubahan ini dapat bersabar sementara kita perhalusi segera perkara ini dalam waktu terdekat ini.

“Libat urus pelbagai pihak, termasuklah dengan Bahagian Kejururawatan dan pertubuhan jururawat yang terlibat akan diadakan seperti diaturkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI