ALOR SETAR – Kerajaan negeri menjangkakan unsur nadir bumi (REE) dapat menjadi sumber pendapatan baharu buat Kedah pada tahun depan berikutan lokasi mineral tersebut berada di luar kawasan hutan simpan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini mineral berkenaan dikesan wujud di tapak milik salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri (GLC).
Katanya, tanah itu tidak terletak dalam kawasan hutan simpan sekali gus tidak terikat dengan polisi nombor 12 Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang tidak menyokong sebarang usaha perlombongan dalam hutan simpan.
“Salah satu daripada tiga pelabur yang diberi lesen menjelajah (EL) REE di negeri ini sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk membawa masuk teknologi dari Amerika Syarikat dan kita bersedia untuknya. Pertamanya kena buat proses pengeringan diikuti proses mengekstrak beberapa elemen, sebelum pergi ke sektor hiliran untuk membuat bateri.
“Teknologinya dah ada, cuma tunggu kebenaran dari Jabatan Alam Sekitar untuk proses itu dimulakan. Kita ada satu tapak yang tak libatkan hutan simpan milik anak syarikat kerajaan negeri dan kita akan mulakan yang itu dulu kerana di situ, JAS tak terikat dengan polisi nombor 12.
“Insya-Allah, kita nak ‘jalan’ yang itu dulu. Pada 2025 nanti insya-Allah REE akan jadi sumber pendapatan baharu buat Kedah,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ts. Dr Mohd Suffian Yusoff (Pas-Bandar Baharu) yang bertanyakan mengenai persediaan kerajaan negeri dalam menerima teknologi luar berkaitan REE. – KOSMO! ONLINE