fbpx

Kartel pindah milik tanah: 13 termasuk kakitangan pejabat tanah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR– Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman membuka kertas siasatan berhubung kes penipuan pindah milik tanah yang melibatkan sindiket dan kartel dalam sebuah pejabat tanah daerah di Selangor.

Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memaklumkan, siasatan dilakukan awal November lalu susulan laporan yang diterima daripada seorang Penolong Pegawai Daerah.

Kata beliau, pengadu mengesan beberapa transaksi pindah milik tanah yang mencurigakan dan dilakukan secara tidak sah.

Tambah membimbangkan, terdapat kehilangan dokumen penting, termasuk borang pindah milik tanah, daripada bilik kebal pejabat tanah.

“Hasil siasatan polis mendedahkan wujudnya sindiket dan kartel yang mengeksploitasi sistem pejabat tanah untuk melaksanakan pindah milik tanah secara haram.

“Sindiket ini dipercayai memadam serta menghilangkan rekod-rekod penting bagi melancarkan kegiatan mereka,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya telah menahan 13 individu terdiri daripada tujuh lelaki dan enam wanita tempatan berusia antara 26 hingga 59 tahun.

Kata Ramli, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada kakitangan awam dan orang luar dipercayai terlibat dengan sindiket disiasat.

“Kesemua tangkapan dibuat hasil operasi bersepadu oleh JSJK dalam usaha membanteras jenayah komersial yang semakin berleluasa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tegas beliau, JSJK komited untuk memerangi kegiatan jenayah komersial seperti ini yang bukan sahaja menjejaskan individu, tetapi turut menggugat integriti sistem pentadbiran tanah negara.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa untuk memastikan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI