KUALA LUMPUR – Karnival Pemerkasaan Ekonomi yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 20 Disember 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Hotel dan Residensi di sini bakal menarik kunjungan 60,000 orang pelbagai peringkat umur.
Program anjuran Khalifah World Global Sdn. Bhd (Khalifah World) itu bakal dilihat sebagai platform terbaik untuk usahawan dan profesional membina jaringan perniagaan, meluaskan rangkaian bisnes selain bertemu dan mendapatkan maklum balas daripada pelanggan serta mempromosikan produk masing-masing.
Bagi orang ramai juga, karnival ini memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan pengetahuan tentang syarikat yang menyertai program tersebut selain menyertai pelbagai aktiviti yang dijalankan.
Menurut Pengarah Eksekutif Khalifah World, Razali Salleh, program ini akan menjadi platform utama dalam memperkenalkan inisiatif baharu dalam sektor perniagaan dan ekonomi.
“Kami menawarkan pelbagai aktiviti menarik dalam karnival ini seperti jualan daripada vendor dan artis tempatan, menderma darah, persembahan daripada artis tempatan, dan juga anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU), pertandingan bowling, snooker dan juga e-sport Mobile Legend,” katanya pada majlis penerangan mengenai Karnival Pemerkasaan Ekonomi 2024 di sini baru-baru ini.
Razali menjelaskan, karnival tersebut memiliki 70 gerai jualan dan hampir 60 peratus daripada lot tersebut telah ditempah.
Pihaknya mengalu-alukan penyertaan daripada vendor, pertandingan sukan dan juga tajaan untuk memenuhi gerai-gerai jualan yang masih kosong.
Tambah beliau, karnival ini bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan ekonomi tetapi menggalakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat. -KOSMO! ONLINE