IPOH – Kami tidak tahu apa-apa dan tiada kumpulan WhatsApp,” jelas kakitangan kepada usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida (DSV) atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman.
Perkara itu dinyatakan oleh seorang pekerja ketika tinjauan diadakan di banglo milik DSV hari ini yang terletak di Persiaran Bukit Meru di sini.
Jelas pekerja itu, mereka tetap menjalankan rutin pekerjaan mereka seperti biasa sehingga mendapat arahan lanjut.
Pekerja itu juga berkata, mereka mengetahui berita tentang kediaman dan empat kenderaan milik usahawan kosmetik itu disita hanya menerusi hantaran di media sosial selain kehadiran bailif Mahkamah Tinggi Ipoh dan wakil syarikat untuk melaksanakan proses penyitaan di banglo tersebut semalam.
“Semalam apabila ramai orang datang depan kediaman ini baru kami tahu (mengenai sitaan),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, laporan mengenai penyitaan kereta mewah milik DSV akibat hutang tertunggak sebanyak RM1 juta tular di pelbagai media sosial. Namun, sehingga kini, pihak DSV masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara itu.
Menurut peguam kepada usahawan tersebut, Datuk Adnan Seman, DSV ketika ini berada di luar negara dan beliau telah menerima dokumen berkaitan pelaksanaan writ penyitaan yang dilakukan.
Beliau turut menjelaskan bahawa anak guamnya mempersoalkan tuntutan tersebut dan langkah seterusnya akan dibuat selepas penilaian terhadap semua dokumen berkaitan dilakukan. – KOSMO! ONLINE