PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat tahap bahaya yang melibatkan hujan sangat lebat berterusan di dua negeri Pantai Timur sehingga Jumaat ini.
MetMalaysia memaklumkan bahawa cuaca buruk ini dijangka melanda negeri Terengganu, melibatkan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, serta kawasan di Pahang seperti Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
Selain itu, amaran hujan berterusan tahap buruk yang melibatkan hujan lebat turut dikeluarkan untuk negeri Kedah, melibatkan Padang Terap, Sik, dan Baling. Manakala, di Perak melibatkan Hulu Perak.
“Kelantan juga tidak terkecuali dengan hujan lebat. Bagi Terengganu, keadaan ini berlaku di Besut, Setiu, Kuala Nerus, dan Kuala Terengganu. Di Pahang pula, kawasan terjejas adalah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh, dan Bera,” katanya.
Orang ramai yang menetap di kawasan terjejas dinasihati untuk berwaspada dengan melakukan persiapan awal bagi menghadapi banjir serta memantau keadaan cuaca semasa dan mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi. – KOSMO! ONLINE