GEORGE TOWN – Penggunaan air yang tinggi merupakan antara punca berlaku masalah tekanan air rendah di beberapa kawasan di Pulau Pinang termasuk di kawasan Mukim 5, di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dekat sini.
Pengerusi Pengerusi Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, penggunaan air di Pulau Pinang berdasarkan per liter kapita sehari (LKH) adalah lebih dua kali ganda daripada sasaran purata nasional.
Menurutnya, impak itu memberi kesan kepada tekanan air semasa waktu puncak iaitu dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi dan pukul 6 petang hingga 11 malam.
”Penggunaan air pengguna di Negeri Pinang berdasarkan per liter kapita sehari (LKH) adalah 307 LKH, iaitu lebih dua kali ganda daripada sasaran purata nasional 180 LKH pada tahun 2025.
“Penggunaan air yang tinggi ini juga adalah antara punca berlaku masalah tekanan air rendah dan ketiadaan air ketika waktu puncak dan ia bukan hanya berlaku di Mukim 5 di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) sahaja malah ia berlaku di lain-lain daerah seluruh negeri ini,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Zairil (DAP-Tanjong Bungah) menjawab soalan Abidin Ismail (Pas-Sungai Bakap) mengenai masalah tekanan air rendah dan gangguan bekalan air di Mukim 5.
Menurut Zairil, selain itu turut berlaku peningkatan peratusan kadar air tidak terhasil (NRW) kerana PBAPP terpaksa meningkatkan tekanan paip-paip utama supaya lebih banyak air dapat disalurkan kepada pengguna untuk kegunaan harian.-KOSMO! ONLINE