IPOH – Dua saksi dari Jakarta, Indonesia akan dipanggil memberi keterangan dalam kes rogol seorang pembantu rumah warga Indonesia oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, lima tahun lalu.
Menurut peguam bela, Salim Bashir, kedua-dua saksi itu merupakan peguam yang menemuramah mangsa rogol dan seorang notari awam.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam tersebut kepada media selepas tamat pengurusan kes itu dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh, Nur Laila Mohamed Nazil.
“Kedua-dua mereka akan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini. Pada prosiding itu, pihak pembelaan akan bertanyakan berkaitan dokumen yang dihantar kepada anak guam kami manakala pihak pendakwaan pula akan menyoal balas untuk mengesahkan bukti baharu tersebut.
“Setakat ini, dua saksi dari Jakarta akan hadir dan kita tidak tahu apa mereka akan katakan pada prosiding itu nanti,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada pembantu rumah terbabit turut akan dipanggil untuk memberi keterangan, beliau berkata pihak pembelaan akan berusaha untuk membawa mangsa.
“Kita cuba yang terbaik untuk membawanya ke sini, jika tidak, kita akan maklumkan kepada mahkamah,” katanya.
Selain Salim, Choo Kiong turut diwakili peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Low Wei Loke.
Sementara itu, Hisyam Teh berkata, Mahkamah Tinggi hari ini turut menetapkan 13, 14, 21 dan 22 Januari depan untuk pendengaran semula kes itu bagi menilai bukti-bukti baharu yang dibenarkan masuk. – KOSMO! ONLINE