MARAN – Doa dan telahan hati seorang isteri agar jasad suami yang terjatuh ke dalam Sungai Pahang ditemui akhirnya termakbul apabila mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 12.45 tengah hari ini.
Isteri mangsa, Nooradiwati Mohamed,54, bersama-sama empat anak setia menunggu di jeti baharu Chenor sejak tragedi melibatkan seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor, Murdani Ab Rahman, 53, yang terjatuh ke dalam sungai kira-kira pukul 6 petang kelmarin.
“Saya reda dan lega penantian kami menunggu di jeti ini Allah telah tunai, doa dan hajat kami untuk menemui jasad suami yang penyayang.
“Saya mengucapkan penghargaan kepada pasukan penyelamat yang bertungkus lumus mencari, sanjung kasih juga kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah yang turut berangkat ke Pusat Gerakan Operasi di Chenor. Kami sangat terharu dengan keprihatinan tuanku,”katanya.
Mayat Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan, Chenor yang dilaporkan hilang di Sungai Pahang kelmarin ditemukan kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
Mayat mangsa ditemukan tersangkut pada jaring sangkar kira-kira 300 meter dari Jeti Chenor.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, mengesahkan pertemuan mayat guru terbabit.
“Pengecaman pun dapat disahkan oleh keluarga di jeti baharu Chenor,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE