KLANG – Seorang gadis berusia 15 tahun bukan sahaja berdepan hitam menjadi ‘tahanan’ malah dirogol salah seorang daripada tujuh penculiknya.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, perkara tersebut diketuai hasil siasatan awal selepas gadis tersebut berjaya diselamatkan di sebuah pangsapuri di Ssksyen 7 di sini.
Katanya, siasatan juga mendapati mangsa mengenali salah seorang suspek menerusi aplikasi sosial, OMI sejak tiga minggu lalu.
“Pada hari dilaporkan hilang, mangsa dengan rela menaiki perkhidmatan e-hailing yang dibuat pesanan oleh suspek dikenalinya itu.
“Mangsa kemudiannya dirogol suspek tersebut di sebuah hotel di Subang,” katanya hari ini.
Beliau menjelaskan, kesemua suspek remaja termasuk dua perempuan berusia 15 hingga 19 tahun merupakan warga tempatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengambil atau memikat kanak-kanak berumur 16 tahun ke bawah tanpa kerelaan penjaga yang sah.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang remaja yang menjadi ‘tahanan’ selama dua hari berjaya diselamatkan polis baru-baru ini.
Polis juga berjaya menangkap tujuh penculik remaja menerusi serbuan di sebuah pangsapuri di Seksyen 7, Shah Alam dan pekarangan sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur dalam tempoh dua jam bermula pukul 11 malam, 18 November lalu. – KOSMO