KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bukunya bertajuk `Becoming Hannah: A Personal Journey’ diulang cetak sebanyak 18 kali dan tidak pernah diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, buku itu merupakan autobiografi tentang kehidupannya termasuk pengalaman peribadi dan penglibatan dalam politik.
“Tiada bukti bahawa mana-mana orang Islam telah terpesong akidah dengan membaca buku berkenaan dan perkara itu telah disahkan oleh pemimpin Islam di negara ini,” katanya.
Hannah berkata demikian ketika memberikan keterangan dalam kes saman fitnah terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkaitan dua hantaran itu yang didakwa menggambarkan beliau sebagai ahli politik yang cuba menyebarkan agama Kristian melalui kerjaya dan politik.
Dalam keterangannya lagi, Hannah mendakwa, sikap defendan jelas menunjukkan hakikat bahawa beliau tidak boleh menerima dirinya mempunyai hak untuk mengamalkan agama secara bebas di negara ini.
“Bahasa dan pilihan perkataan yang digunakan defendan dengan sengaja menimbulkan skandal, kontroversi, tidak munasabah serta menghasut. Perkataan itu termasuk istilah seperti munafik, berdakwah, menggunakan kedudukan politik, memanggil sesama ahli Kristian, pendakwah, memujuk, mempengaruhi dan misi,” katanya lagi.
Justeru beliau juga menegaskan, hantaran-hantaran Facebook Kamarul Zaman antara 10 Mei dan 17 Mei 2017 jelas berniat untuk menyinggung perasaan, menghina dan memfitnahnya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Aliza Sulaiman bersambung pada 14 Januari tahun depan.
Hannah memfailkan saman itu pada tahun 2022 dengan mendakwa Kamarul Zaman yang dinamakan defendan, turut menyentuh mengenai buku biografinya yang didakwa didorong oleh `agenda Kristianisasi’.
Dalam tuntutan samannya, Hannah berkata, Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antaranya mendakwa beliau (Hannah) mempunyai motif untuk menyebarkan agama Kristian melalui kerjaya politiknya selain berhasrat menukar Malaysia menjadi negara Kristian.
Dalam pernyataan pembelaannya pula, Kamarul Zaman berkata dua hantaran dalam Facebooknya adalah berasas dan tidak mempunyai unsur fitnah.
Defendan menegaskan, sebagai pensyarah dan seorang muslim, beliau mempunyai kewajipan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu kerana bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan agama Kristian. – KOSMO! ONLINE