PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menjangkakan anak buahnya berdepan tugas sukar untuk membawa pulang tiga mata apabila berdepan Shandong Taishan FC pada aksi kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), malam ini.
Bidoglio berkata, kelab Liga Super China (CSL) itu merupakan lawan yang hebat kerana dibarisi pemain kebangsaan China pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026, baru-baru ini.
Katanya, faktor cuaca yang sejuk juga akan menjadi cabaran berat buat skuad Harimau Selatan dan itu menjadi alasan utama kelab itu tiba lebih awal di China bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran sebelum aksi sebenar.
“Ini adalah satu cabaran getir buat JDT apabila berdepan pasukan hebat di China lebih-lebih lagi beraksi di halaman mereka, tambahan pula kita akan beraksi pada cuaca yang sangat sejuk.
“Prestasi JDT pada saingan ACLE setakat ini berada di tahap memuaskan, namun kita tidak boleh bersikap berpuas hati kerana kedudukan dalam kumpulan berubah pada bila-bila masa.
“Pemain perlu kekal komited untuk mengekalkan momentum permainan ketika ini seterusnya memburu tiga mata di tempat lawan bagi mengukuhkan kedudukan pasukan dalam kelompok lapan pasukan terbaik Kumpulan Zon Timur,” katanya.
Rekod pertemuan JDT menentang Shandong Taishan yang dahulunya dikenali sebagai Shandong Luneng tampak seimbang setelah Harimau Selatan tewas 2-1 pada aksi 9 April 2019 dan menang tipis 1-0 di Stadium Larkin pada 24 April 2019.
Dalam pada itu, Bidoglio lega apabila tiada pemain dibelenggu kecederaan atau dikenakan tindakan penggantungan, namun mengingatkan Murilo Hendrique agar lebih berhati-hati dalam perlawanan itu sekiranya diturunkan beraksi kerana sudah mengumpul dua kad kuning.