KUALA LUMPUR – Seramai 688,663 orang atau 52.95 peratus daripada 1.3 juta penjawat awam di seluruh negara belum memiliki rumah dengan majoritinya adalah dalam kalangan kumpulan pelaksana iaitu sejumlah 431,277 orang.
Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, berdasarkan angka terkini, terdapat kira-kira 1,300,680 juta penjawat awam masih berkhidmat, manakala 950,356 telah bersara.
“Jawatankuasa Khas Tertinggi Perumahan Penjawat Awam Malaysia (JKT PPAM) pada 22 Jun lalu telah bersetuju supaya permohonan rumah PPAM dikhususkan kepada penjawat awam berjawatan tetap atau kontrak dan pesara sahaja khasnya mereka berpendapatan rendah dan sederhana.
“Walaupun anak kepada penjawat awam atau anak pesara tidak layak memohon rumah Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), namun mereka masih berpeluang menjadi pemilik bersama rumah PPAM yang ditawarkan kepada ibu bapa mereka yang merupakan penjawat awam atau pesara,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjawab bagi pihak Dr. Zaliha untuk soalan yang dikemukakan oleh Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu).
Dr. Zaliha berkata, permohonan PPAM terbuka untuk penjawat awam lantikan tetap atau kontrak (Contract of Service) yang berkhidmat dengan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun persekutuan dan badan berkanun negeri serta diperluaskan kepada pesara kerajaan.
“Penjawat awam yang telah menerima manfaat melalui inisiatif PPAM adalah tertakluk kepada sekatan moratorium iaitu rumah PPAM yang dibeli itu tidak dibenarkan dijual dan dipindah milik selama 10 tahun bermula dari tarikh Perjanjian Jual Beli ditandatangani,” katanya. – KOSMO! ONLINE