GUA MUSANG – Sebanyak 13 bukit di daerah ini telah dikenal pasti untuk dijadikan sebagai lokasi perpindahan mangsa sekiranya pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan tenggelam akibat banjir besar.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Gua Musang, Nik Raisnan Daud berkata, pihaknya mengambil pendekatan awal dengan mengenal pasti 13 bukit berkenaan sebagai persediaan supaya penduduk di daerah ini tidak berdepan dengan kesukaran seperti kejadian bah kuning pada 2014.
Katanya, kejadian banjir besar yang berlaku 10 tahun lalu itu menyebabkan penduduk terpaksa menyelamatkan diri di atas bukit dan terputus bekalan makanan.
“Lokasi bukit yang sudah dikenal pasti antaranya di Kampung Batu Papan, Kampung Lebir, Kampung Pulau Setelu, Kampung Limau Kasturi dan Felda Aring.
“Kita menyediakan pelbagai kelengkapan untuk kegunaan mangsa seperti bekalan makanan, peralatan memasak, lampu suluh, tali dan khemah sekiranya terpaksa berpindah ke atas bukit,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini hari ini.
Nik Raisnan yang juga Ketua Jajahan Gua Musang memberitahu, pihaknya akan membuat membuat hebahan ketika solat Jumaat dengan bantuan penggawa dan penghulu mengenai tindakan yang perlu diambil oleh penduduk sekiranya menghadapi kejadian banjir luar jangka.- KOSMO! ONLINE