KUALA LUMPUR – 11 individu termasuk dua wanita ditahan kerana terbabit dengan skim pelaburan mata wang kripto Gigamax dengan melibatkan kerugian RM7.2 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua individu itu berusia 34 tahun hingga 59 tahun ditahan dalam operasi di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Melaka, 13 November lalu.
“Peranan individu itu antaranya pengurusan tertinggi sebuah akademi, penceramah dan individu yang mengeluarkan mata wang kripto,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Menurut Ramli, Gigamax adalah satu platform yang berfungsi sebagai broker mata wang kripto yang menjadi medium antara pelabur dan pasaran kripto.
Katanya, platform ini telah diperkenalkan dan dipromosikan pada awal Julai 2022 oleh akademi yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“NGO berkenaan menyediakan pendidikan dalam blockchain dan decentralization finance,” ujarnya.
Beliau berkata, melalui kepakaran dan pengetahuan mereka dalam mata wang kripto, akademi itu telah meyakinkan ramai pelabur untuk menyertai pelaburan tersebut.
“Melalui platform itu, pelabur dibenarkan membuat pengeluaran keuntungan secara harian.
“Pelabur juga ditawarkan program affiliate sebagai motivasi kepada pengguna Gigamax untuk mengajak pelabur baru menyertai mereka,” katanya.
Bgaimanapun, Ramali berkata, setelah kira-kira setahun beroperasi, platform tersebut tidak lagi dapat diakses dan semua pengeluaran keuntungan telah tergendala.
“Ekoran daripada itu, para pelabur telah membuat laporan polis, setakat ni sebanyak 101 laporan diterima sejak 27 Jun lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ramli berkata, oramg ramai perlu tahu ciri-ciri pelaburan palsu seperti penggunaan akaun bank peribadi atau akaun bank syarikat yang berbeza untuk menerima deposit, jaminan keuntungan yang terlalu tinggi tanpa risiko kerugian dan sebagainya.
“Pengetahuan sebegini amat membantu dalam mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan pelaburan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.