PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan perasaan kecewa apabila terpedaya membeli ketam bunga yang didakwa segar ketika sedang berkelah di Port Dickson.
Melalui sebuah video di TikTok izzyghazali, dia membeli ketam itu selepas didatangi seorang lelaki yang mendakwa dia ada menjual ketam bunga.
“Seronok berkelah tepi pantai, ada seorang bro (abang) ini datang tanya nak beli ketam bunga tak? Dia ambil pesanan dulu, RM35 sekilogram (kg).
“Kami tak fikir panjang, kami kena scam mentah-mentah. 560 gram saja untuk aku, beg lain tak pasti rasanya sama saja. kami beli lima beg, sepatutnya lima kg!,” katanya.
Menurut wanita itu lagi, ketam yang diberikan juga bersaiz kecil dengan ada sebahagiannya dalam keadaan kaki yang putus dan sudah berbau busuk.
“Bukan rezeki kami, tapi biar orang lain beringat.
“Tolong berhati-hati semua, modus operandi dia ialah bayar secara tunai sahaja. Mereka sasar keluarga besar yang berkelah tepi pantai,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati ada beberapa pengguna berkongsi pengalaman sama apabila menjadi mangsa penipuan ketam ‘segar’ tersebut.
“Ingatkan saya saja yang terkena. Sama-samalah kita beringat selepas ini,” kata Mimi.
“Modus operandi dia jual cepat-cepat, laju-laju. Kita pulak fikir kawasan laut, mesti banyak makanan laut segar. Dia bungkus siap-siap dalam ais supaya kita tak boleh tengok. Yang atas dia letaklah seekor dua yang elok,” kongsi FS.
“Saya pun dah terkena. Dia kumpul order jugaklah, kawasan Teluk Kemang. Tapi dah lama, tahun lepas. RM35 tujuh ekor dapat besar sikit dari ‘baby crab’. Geram rasa dengan diri sendiri sebab tak periksa dulu,” kata Fazreen. – KOSMO! ONLINE
@izzyghazali ALERT!! Video hanya untuk create awareness pengunjung pantai pd, agar lebih berhati2 .. tu saja! #portdickson #ketam #ketambunga #ketambungafresh #penjualketam #fyp #foryoupage #telukkemang #pantai ♬ original sound – Amin Shamsul