DALAM usaha menangani masalah murid tercicir, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPaS) memperkenalkan tiga produk tersendiri.
KOMPaS merupakan program berimpak tinggi hasil penyelidikan teliti selama tiga tahun.
Objektif utama program itu adalah untuk mengurangkan risiko murid tercicir dan membantu pelajar menamatkan pendidikan peringkat menengah dengan mendapatkan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Projek pertama pasukan kerja KOMPaS telah berjaya membantu kerajaan negeri dan agensi terlibat membentuk usaha ke arah memperkasa agenda pendidikan di Kedah serta Malaysia secara keseluruhan.
Projek edisi kedua diketuai oleh Prof. Dr. Norhafezah Yusof daripada Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM pula berjaya menghasilkan modul i-MOVE.
Ia merupakan Modul Intervensi Komunikasi Berkesan yang direka untuk meningkatkan kehadiran murid ke sekolah dengan pendekatan strategi komunikasi relevan.
Modul itu bersifat interaktif dan fleksibel serta mampu menarik minat pelajar untuk hadir ke sekolah berdasarkan maklum balas daripada guru bimbingan kaunseling serta murid bersama penyelidik program KOMPaS.
Manakala, projek ketiga pula berteraskan pengkomputeran, diketuai oleh Prof. Madya Noraziah Che Pa daripada Pusat Pengajian Pengkomputeran yang membangunkan aplikasi MyBuddy.
Aplikasi itu merupakan satu perisian menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) sebagai kaedah analisis corak untuk mengenal pasti pelajar berisiko cicir dan memberikan sokongan intervensi sesuai.
Dengan memanfaatkan teknologi AI, MyBuddy bukan sahaja meramalkan kemungkinan tahap keciciran, malah menyediakan maklumat secara langsung kepada pihak berwajib tentang murid berisiko tercicir menggunakan penanda aras yang telah dikenal pasti.
Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, tiga produk baharu itu dapat membantu pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta kerajaan negeri menangani masalah tersebut.
“KOMPaS merupakan satu usaha penyelidikan yang dilaksanakan oleh UUM dengan kerjasama rakan strategik iaitu Yayasan Sime Darby, Kerajaan Negeri Kedah dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dalam mengangkat agenda akademia untuk pembangunan komuniti.
“Aktiviti dianjurkan telah terbukti dapat memupuk semangat dan keazaman murid-murid yang diuruskan oleh sekumpulan mahasiswa UUM dikenali sebagai Duta KOMPaS,” katanya.
Sementara itu, Ketua Program Penyelidikan KOMPaS merangkap Ketua Projek 1 KOMPaS UUM, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim berkata, keciciran murid tidak dapat diselesaikan dengan pelajaran semata-mata, tetapi melibatkan komunikasi dan teknologi maklumat.
“Mereka perlu diselamatkan daripada terus hilang daripada dunia pendidikan untuk mengelakkan kerugian berjuta-juta ringgit pada negara khususnya negeri Kedah.
“Ini kerana, peningkatan kadar jenayah, kemiskinan dan ketidakseimbangan membuktikan kegagalan dalam melahirkan modal insan berkualiti,” katanya.
Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby Dr. Yatela Zainal Abidin menyifatkan program seumpama itu menjadi penanda aras kepada kejayaan yang dipelopori UUM berdasarkan kajian saintifik.
“Seramai 157 daripada 180 pelajar tingkatan lima berjaya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia merupakan satu impak terbesar.
“Kami berharap program ini akan diperluaskan demi membina masa depan lebih gemilang untuk anak-anak kita,” katanya.
Yatela berkata, usaha itu merupakan kerjasama strategik bagi meningkatkan akses kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkualiti serta inklusif dalam usaha memastikan tiada lagi pelajar ketinggalan.