JOHOR BAHRU – Seorang guru sekolah agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang murid perempuan.
Tertuduh, Mohd. Zulkarnain Mohd. Zin, 34, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun pada 2023 dan juga 15 tahun pada tahun ini tanpa kerelaan remaja tersebut.
Perbuatan itu dilakukan dalam bilik stor sebuah sekolah agama di Skudai, di sini pada pukul 3.30 hingga 4.30 petang, Disember 2023 hingga Ogos lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin memberitahu mahkamah kesalahan itu tidak dibenarkan diikat jamin, tetapi jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara beliau mencadangkan jaminan RM60,000 bagi semua pertuduhan.
Peguam Iskandar Shah Ibrahim bagaimanapun memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin RM30,000.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa, melapor diri di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.- KOSMO! ONLINE