fbpx

Usaha KPN tingkatkan penghayatan masyarakat kepada sejarah, warisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron (enam dari kiri) pada majlis pelancaran Seminar Pengiktirafan Warisan Dunia: Koleksi Surat Menyurat Sultan Abdul Hamid di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

MALAYSIA sememangnya kaya dengan budaya serta seni warisan yang dimiliki hasil integrasi kaum sejak zaman berzaman.

Oleh itu, Program Citra Nusa@Mu­zium yang dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menjadi medan penghayatan masyarakat kepada kepelba­gaian warisan negara.

Hasrat KPN pada tahun ini adalah untuk ‘Memberdayakan Muzium’.

Ini kerana, muzium berperanan untuk merapatkan hubungan dan perpaduan kaum menerusi penyertaan secara inklusif dalam pelbagai aktiviti berteraskan warisan seni dan budaya, selain menjadi platform integrasi kaum.

Ini bersesuaian dengan fungsi­nya sebagai guardian of heritage yang mengumpul, memelihara serta melestarikan koleksi sejarah, seni budaya dan warisan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sebanyak 9 program telah dilaksanakan di bawah Citra Nusa@Muzium, antaranya Citra Nusa@Melaka, Citra Nusa@Festival Hari Muzium Antarabangsa 2024, Citra Nusa@Muzium Adat, Citra Nusa@Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan pelbagai lagi.

Beberapa pameran khas turut diadakan di muzium, antaranya Pameran Raja Kita yang diadakan di JMM pada 25 Julai hingga 29 September lalu, mempamerkan sebanyak 272 koleksi berkaitan regalia diraja dan koleksi peribadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja Permaisuri Agong
(RPA).

Pameran ini menerima sambutan yang sangat menggalakkan da­ripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang, mencatatkan kehadiran 59,350 pelawat tempatan dan luar negara sepanjang tempoh dua bulan pameran diadakan telah melepasi sasaran asal sebanyak 20,000 orang.

Selain itu, Muzium Labuan telah diwartakan sebagai Tapak Warisan oleh Jabatan Warisan Negara pada 5 Mac 2024, melalui Pewartaan Kerajaan Persekutuan bertarikh 10 Oktober 2024.

Lokasi Muzium Labuan berada di kawasan bandar dan aktiviti pembangunan boleh menjejaskan struktur bangunan muzium.

Tapak warisan mempunyai nilai sejarah dan warisan yang tinggi. Kebanyakan tapak warisan mudah terganggu oleh faktor aktiviti pembangunan. Tapak warisan perlu dilihat sebagai entiti yang kekal dan tidak boleh diperbaharui, bernilai tinggi dan amat sensitif.

Melalui pewartaan ini, bangunan muzium dapat dikekalkan dan dilindungi daripada kesan pembangunan dan sebagainya.

Muzium Labuan menyasarkan kehadiran 24,000 pengunjung pada tahun 2024, dan sasaran ini telah dicapai lebih awal pada September lalu. Melalui pengiktirafan sebagai tapak warisan, Muzium Labuan dapat menarik ramai pengunjung untuk datang ke muzium.

Dalam masa yang sama, melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), pelbagai program dilaksanakan bagi meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Antaranya Program Galakan Membaca yang menyokong matlamat Dasar Buku Negara, yang memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan berkualiti.

Dalam tempoh Januari hingga September 2024, jumlah Program Galakan Membaca yang telah dilaksanakan adalah sebanyak 2,022 program, dengan 18,204 penyertaan.

Turut diadakan ialah Karnival Baca Perdana (KBP) 2024 – program yang julung kalinya diadakan oleh KPN menerusi PNM. Program ini berlangsung selama sebulan pada sepanjang bulan Oktober 2024.

Tema KBP 2024 adalah Perpaduan Melalui Pembacaan. Pelbagai aktiviti sampingan lain turut diadakan seperti Cabutan Buku Bertuah kepada pengunjung, Roda Ilmu, Demonstrasi Doktor Buku, Pintar Jawi, Demonstrasi u-Pustaka, Jawab dan Menang, Cabutan Bertuah (buku), Pertandingan Mewarna, Pameran dan Jualan Buku, Pameran Kaligrafi Melayu, Cina dan India dan banyak lagi.

Sepanjang tahun ini, Arkib Negara Malaysia (ANM) turut berjaya menganjurkan beberapa program antaranya Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional (KSPN) 2024.

Turut diadakan ialah Majlis Negarawan, yang melibatkan program Mengenang Negarawan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ‘Negarawan Sejuta Jasa’ serta program Mengenang Negarawan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Anak Barieng ‘Negarawan Terbilang’.

Masyarakat khususnya generasi muda dapat mengetahui dan me­ngenali dengan lebih dekat kehandalan tokoh negara yang telah ba­nyak berjasa kepada negara melalui program sebegini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI