fbpx

Tiga ‘pak guard’ kes curi RM200,000 dihadapkan ke mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhd Fairul Fizree (dua dari kanan) dan dua lagi tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada hari ini atas pertuduhan mencuri wang tunai berjumlah RM200,000. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

ALOR SETAR – Tiga pengawal keselamatan sebuah syarikat kawalan keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri wang tunai RM200,000 yang berada dalam milikan majikan mereka itu pada minggu lalu.

Pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh iaitu Muhd Fairul Fizree Abdul Hamid, 38; Mohamad Zul Hilmi Ahmad, 37, dan Muhammad Fadzli Yaakub, 28, dibacakan di hadapan Majistret, Siti Nurhidayah Mohd Noor.

Muhd Fairul Fizree mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut, manakala dua lagi tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama didakwa mencuri wang tunai RM200,000 dalam milikan majikan mereka iaitu syarikat Kawal Wiramas Sdn. Bhd. di sekitar lampu isyarat Taman Kristal, di sini kira-kira pukul 10.34 pagi, 19 November lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah menetapkan pada esok untuk menjatuhkan hukuman ke atas Muhd Fairul Fizree yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), H. A. Chuah berikutan barang kes tidak dapat dikemukakan kepada mahkamah, hari ini.

Dia yang masih bujang dibenarkan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM4,500.

Terdahulu, peguam, Chuah dalam rayuannya memaklumkan Muhd Fairul Fizree mempunyai pendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung anak kepada seorang kakaknya yang perlu menjalani dialisis.

Sementara itu, dua lagi tertuduh, Mohamad Zul Hilmi dan Muhammad Fadzli juga dibenarkan dibebaskan dengan jumlah jaminan yang sama dengan kes ditetapkan pada 29 Disember untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri sementara Mohamad Zul Hilmi diwakili peguam, Ilyana Syafiqa Md Saad. Ilyana turut menyebut bagi pihak peguam dari Tetuan Susan Lee & Co yang mewakili tertuduh, Muhammad Fadzli.

Kosmo! Online pada Khamis lalu melaporkan hasrat tiga pengawal keselamatan untuk berjoli dengan wang majikan berjumlah RM200,000 selepas mereka cerita kononnya hilang dilarikan penyamun tidak kesampaian apabila mereka ditahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI