fbpx

Bicara pecah amanah Najib panas, Shafee tempelak pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Irwan dan Najib.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan hari ini memberitahu mereka tidak mempunyai kawalan terhadap dokumen sulit yang akan dinyahklasifikasi sebelum digunakan dalam perbicaraan kes pecah amanah dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata, ia melibatkan dokumen mesyuarat Kabinet, Kementerian Kewangan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (kini Agensi Pengangkutan Awam Darat) di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Bagi Kementerian Kewangan dan Petra, dokumen masih dalam proses diturun taraf manakala bagi SPAD, memandangkan suruhanjaya itu telah dibubarkan, kami dimaklumkan dokumen kini tiada lagi dalam simpanan mereka.

“Proses turun taraf dokumen berstatus rahsia dan sulit bukanlah di bawah kawalan pihak pendakwaan dan ia tertakluk kepada agensi terlibat yang memiliki dokumen berkenaan sama ada boleh diturun taraf atau sebaliknya,” kata Muhammad Saifuddin.

Muhammad Saifuddin memaklumkan, pihaknya tidak mengguna pakai Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah dengan seksyen itu menyentuh mengenai Pendakwa Raya yang boleh menolak untuk meneruskan pendakwaan pada mana-mana peringkat.

Mendengar hujahan itu, peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dalam hujahannya menempelak pendakwaan kerana masih meneruskan pendakwaan ke atas anak guamnya.

Muhammad Shafee mempersoalkan mengapa bekas Perdana Menteri dan menteri kewangan itu masih didakwa sedangkan dokumen yang akan digunakan dalam perbicaraan belum siap.

“Mengapa dakwa anak guam saya sedangkan (pendakwaan) tidak bersedia? Beliau sudah dibebani dengan (begitu banyak kes lain),” kata peguam itu.

Sementara itu, peguam Datuk Seri K.Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan memohon anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) kerana kes sudah berjalan selama enam tahun sejak ia pertama kali disebut di mahkamah.

Bagaimanapun, Kumaraendran berkata, pendakwaan masih gagal menyerahkan semua dokumen yang dimohon pembelaan malah ada dokumen yang sehingga kini tidak diserahkan kepada pihaknya bagi menyediakan pembelaan.

“Yang Arif menetapkan tarikh perbicaraan tetapi kami tidak dapat meneruskan kerana kebanyakan dokumen penting tidak diberikan kepada kami dan mahkamah tidak dapat menjalankan perbicaraan adil.

“Malah, ada dokumen yang tidak ada dalam milikan pendakwaan, bagaimana mereka hendak meneruskan kes? Ini adalah kali ketiga kami memohon DNAA kerana mahkamah memberi masa yang mencukupi untuk pendakwaan. Oleh itu, saya memohon mahkamah memberikan anak guam saya perintah DNAA,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak Hakim Muhammad Jamil Hussin kemudian menetapkan pada 27 November ini untuk mendengar hujahan lanjut kesemua pihak.

Perbicaraan yang sepatutnya bermula pada September 2021 telah tertangguh beberapa kali antaranya bagi memberi laluan kepada dua kes iaitu kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Kali terakhir perbicaraan ditangguhkan ada pada Jun lalu yang mana ia disebabkan beberapa dokumen penting dirujuk oleh saksi-saksi masih belum diserahkan oleh pendakwaan kepada pembelaan.

Pada 24 Oktober 2018, Najib dan Mohd. Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI