fbpx

Sultan Selangor dukacita pihak tiada kepakaran pertikai fatwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin ketika berkenan merasmikan program Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah " Ilmu Tasawwuf Merungkai Masalah Ummah " di Shah Alam. - Foto oleh SHIDDIQQIN ZON / KOSMO!

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita apabila terdapat umat Islam yang tidak mempunyai kepakaran berkaitan hukum syarak telah mempersoalkan dan mempertikaikan fatwa dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Baginda menegaskan, proses pembuatan sesuatu fatwa dilakukan dengan begitu teliti dengan mengambil pandangan daripada banyak pihak.

Titah Sultan Sharafuddin, ini terutama daripada anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan pakar-pakar hukum syarak sebelum diangkat bagi mendapat perkenan baginda dan seterusnya diwartakan.

“Oleh itu, Beta menyeru agar segelintir umat Islam yang sering mempersoalkan tentang fatwa untuk memahami terlebih dahulu tentang sesuatu fatwa yang dikeluarkan.

“(Selain itu) merujuk kepada pihak berkuasa agama sekiranya terdapat apa-apa kekeliruan atau persoalan yang berbangkit,” titahnya.

Sultan Sharafuddin menitahkan demikian ketika berkenan merasmikan program Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah ” Ilmu Tasawwuf Merungkai Masalah Ummah” di Auditorium, Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Baginda turut berkenan melancarkan laman web Jurnal Fatwa dan Falak Selangor (JUFFAS), Sistem Taudhih Al-Ahkam dan Sistem eFalak Selangor.

Sultan Sharafuddin mengambil maklum antara cabaran yang boleh menimbulkan kerisauan terhadap pengamalan tasawwuf dan tarekat adalah apabila terdapat golongan yang tidak memahami ilmu ini dengan tepat atau yang belajar dari guru yang tidak berkelayakan dan tiada tauliah.

Baginda menambah, lalu individu itu menyebarkan secara meluas ilmu atau fahamannya kepada orang ramai.

“Beta melihat penyelesaian terhadap isu ini adalah dengan memberi kefahaman yang betul kepada masyarakat melalui usaha-usaha agensi agama mahupun institusi- institusi yang terlibat dengan pengajaran Islam yang sebenar.

” Pihak JAIS perlu memastikan bahawa semua penceramah yang menyampaikan pengajaran Islam terutamanya berkaitan akidah, syariah, pengajaran ilmu tasawwuf serta pengamalan tarekat mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” titah baginda.

Justeru, Sultan Sharafuddin mencadangkan agar diwujudkan panduan, silibus khas atau peraturan yang khusus mengenai pengamalan tasawwuf dan tarekat di negeri Selangor

“Beta yakin dengan kefahaman dan amalan yang benar sudah pasti akan memberi impak positif kepada pembangunan sahsiah ummah.

“Usaha ini seiring dengan hasrat Beta untuk memastikan negeri dan negara ini terus berkembang maju, makmur, rakyatnya sentiasa hidup di dalam keadaan harmoni, bertolak ansur serta bersatu padu,” titahnya.

Sehubungan itu, baginda menyokong tindakan proaktif pihak berkuasa agama melalui pewujudan undang-undang, pewartaan fatwa, enakmen dan panduan ajaran tasawwuf dan tarekat di negeri Selangor ini.

“Tindakan penguatkuasaan juga perlu dipertingkatkan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi sesat yang akan mencemar nama baik Islam di negeri Selangor khususnya,” tegas baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI