PETALING JAYA – SP Setia Berhad (SP Setia) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM853 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, hasil itu menunjukkan peningkatan sebanyak 2.3 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Menurutnya, SP Setia berjaya mencapai jumlah jualan yang memberangsangkan sebanyak RM3.2 bilion.
“Projek tempatan menyumbang RM3 bilion, dengan 94 peratus jualan kumpulan didorong oleh wilayah selatan dan tengah, masing-masing membawa masuk RM1.58 bilion dan RM1.37 bilion,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Kai Wai berkata, faktor seperti permintaan pasaran kukuh di wilayah selatan dan tengah serta strategi pengurusan kos yang tepat berjaya menghasilkan keuntungan mampan untuk SP Setia.
Sehingga September 2024, kumpulan itu memperoleh RM556 juta jualan dalam perancangan dan RM447 juta menerusi segmen pembangunan hartanah, manakala RM79 juta daripada segmen industri Setia Alaman.
“Bagi baki tahun ini, kumpulan menyasarkan untuk melancarkan anggaran RM1.97 bilion dalam hartanah kediaman, komersial dan perindustrian, dengan lebih 62 peratus tertumpu di wilayah tengah,” ujarnya.
Katanya, di peringkat antarabangsa, SP Setia telah melancarkan projek Atlas Melbourne, Australia iaitu pembangunan bercampur 73 tingkat yang terletak di 383 La Trobe Street di daerah pusat perniagaan Melbourne.
“Dengan nilai pertumbuhan kasar (GDV) sebanyak AUD886.7 juta bersamaan RM2.7 bilion, pembinaan fasa 1 dijadualkan bermula pada separuh pertama 2026 yang dijangka siap menjelang 2028.
“Secara keseluruhan, pembinaan projek berkenaan dijadualkan siap pada pertengahan 2029,” ujarnya.
Tambah Kai Wai, SP Setia dengan kerjasama Mitsui Fudosan akan melancarkan projek Setia Federal Hill Fasa 1 di Kuala Lumpur dengan GDV dianggarkan berjumlah RM1.4 bilion.
“Setakat 30 September, kumpulan mempamerkan hasil yang kukuh dengan 42 projek sedang berjalan dan jualan belum dibil bernilai RM3.5 bilion,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE