KOTA BHARU – Satu kompeni Senoi Praaq dari Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor dan Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Perak akan membantu penugasan dan kawalan sempadan Malaysia-Thailand terutamanya di Sungai Golok bermula 1 Disember ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kompeni dengan kekuatan seramai hampir 100 anggota itu akan membantu operasi di bermula hari pertama pelaksanaan larangan merentas sempadan melalui Sungai Golok.
Menurutnya, cadangan itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan beliau bersetuju dengan langkah tersebut.
“Berdasarkan pengalaman saya yang lalu, anggota Senoi Praaq yang ditunjangi oleh anggota PGA Orang Asli banyak membantu penugasan di sempadan di negeri-negeri sebelah Utara.
“Mereka juga lebih patuh dengan arahan ketua dan mungkin salah guna kuasa dapat dikurangkan. Jadi, kita berharap kegiatan penyeludupan dapat dikurangkan selepas kompeni itu datang membantu penugasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, buat masa ini, satu kompeni akan membantu tugasan di sempadan Kelantan dan keperluan penambahan anggota akan dilihat dari masa ke semasa.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, polis melaksanakan operasi besar-besaran untuk menangkap rakyat tempatan yang pulang ke negara ini dari Thailand melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember depan.
Mohd. Yusoff berkata, penguatkuasaan itu merupakan satu langkah untuk memperkasakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu menggunakan laluan yang tidak diwartakan untuk memasuki negara ini.
Menurutnya, justeru rakyat Malaysia akan ditangkap semasa mereka menjejakkan kaki di negara ini selepas pulang dari Thailand melalui pangkalan haram.
“Undang-undang menerusi Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 sudah ada, cuma kita akan lebih menguatkuasakan akta itu pada 1 Disember ini.
“Kita akan tangkap rakyat Malaysia yang masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan. Bukan hanya rakyat tempatan, warga asing seperti Thailand dan Myanmar juga akan dikenakan tindakan sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE