KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 syarikat konsesi lebuh raya belum menyatakan persetujuan mengenai pelaksanaan sistem pembayaran tol ‘Aliran Pantas Pelbagai Lorong’ atau Multi Lane Fast Flow (MLFF).
Malah kata, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, 20 lagi syarikat masih dalam rundingan untuk melaksanakan sistem tersebut.
Beliau berkata, ketika ini Singapura dan Indonesia telah mengguna pakai sistem tersebut, begitu juga dengan Thailand.
“Tempoh rundingan kita adalah sehingga 16 Disember 2024 dan apa yang berlaku rundingan antara konsesi di atas konsesi dan sekarang kita ada 33 konsesi.
“Kaedah MLFF ini tidak semua konsesi bersetuju, dalam rundingan 20 konsesi dan 13 lagi konsesi tidak bersetuju. Jadi kita tunggu sehingga 16 Disember depan, kalau tak dapat (persetujuan) semua 33 (syarikat konsesi), kita akan buat cadangan lain,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang mahu kementerian menyatakan perkembangan terkini sistem MLFF.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pelaksanaan MLFF juga perlukan kepada pindaan akta tertentu dilakukan antara lain untuk mengekang tindakan pihak yang mengelak daripada bayaran tol.
Ujar beliau, palang tol adalah bentuk kawalan yang mana jika ada kenderaan yang tidak melakukan bayaran, maka ia dapat dilihat dengan jelas. – KOSMO! ONLINE