PETALING JAYA – Setiap malam sarung bantal yang tidak ditukar secara berkala boleh menjadi medium pemindahan bakteria, minyak dan kotoran ke muka, sekali gus menyebabkan jerawat.
Menurut perkongsian oleh Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, sarung bantal yang kotor menyimpan pelbagai jenis kotoran termasuk peluh, minyak, sel kulit mati, dan bakteria.
Kotoran ini berkumpul dan menyumbat pori wajah anda tanpa disedari.
“Sarung bantal yang kotor ini menyentuh wajah anda selama berjam-jam setiap malam, memindahkan bakteria dan kotoran yang boleh menyebabkan jerawat,” katanya.
Tambah PHM, sisa bahan kimia daripada minyak atau produk rambut yang digunakan juga boleh melekat pada sarung bantal dan dipindahkan ke wajah, menjadikan pori lebih mudah tersumbat.
Untuk mengelakkan masalah ini, PHM menyarankan agar sarung bantal ditukar sekurang-kurangnya seminggu sekali.
“Tukar sarung bantal anda dengan kerap. Ini bukan sahaja membantu menjaga kebersihan, tetapi juga melindungi kulit daripada jerawat yang tidak diundang,” jelasnya.
Langkah mudah ini dapat membantu memastikan wajah anda kekal bersih dan bebas daripada kotoran. Jadi, jangan pandang ringan soal kebersihan sarung bantal! – KOSMO! ONLINE